Ada unsur manipulasi dalam ulasan Proklamasi, Ordinan Darurat 2021 – Wan Rosdy

Ada unsur manipulasi dalam ulasan Proklamasi, Ordinan Darurat 2021 – Wan Rosdy

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Beberapa ulasan berkaitan Proklamasi dan Ordinan Darurat 2021 yang disiarkan di media arus perdana, didapati berunsur manipulasi dan tidak menggabarkan konteks sebenar.

Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara ulasan terbabit ialah daripada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

“Pada hemat saya, ulasannya sengaja dimanipulasi sehingga lebih menjurus kepada suatu ‘political statement’ (kenyataan politik) untuk manfaat politiklah juga.

“Disebutnya mengenai Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan mengenai fungsi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang perlu bertindak menurut nasihat jemaah menteri. 

“Beliau (Vigneswaran) mendakwa dalam keadaan sekarang, melalui beberapa titah dikeluarkan, baginda pula yang bertindak menasihati jemaah menteri tentang perkara yang perlu dilakukan.

“Sebenarnya, ‘nasihat’ di bawah Perkara 40 (1) adalah tidak mutlak sebaliknya perkara 40 (2) termaktub bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara baginda pada melaksanakan beberapa fungsi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Vigneswaran dalam kenyataannya sebelum ini dilaporkan berkata, tiada keperluan bagi setiap ahli Parlimen membahaskan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat pada Isnin (esok) berikutan tarikh luput ordinan itu bakal berakhir pada Ahad.

Katanya, tindakan ahli Parlimen membahaskan Ordinan Darurat dianggap hanya mensia-siakan masa Parlimen dalam usaha memulakan protokol dan prosedur ke arah membangunkan kembali negara ini.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, Yang di-Pertuan Agong boleh meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja berkenaan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja dan sebarang tindakan pada mesyuarat itu atau dalam hal lain yang disebut dalam perlembagaan.

“Mengenai Proklamasi dan Ordinan Darurat 2021 itu sendiri, sudah jelas termaktub pembatalannya hendaklah dibentang dan dibahaskan dalam Parlimen terlebih dahulu dan perkara inilah yang dititahkan baginda pada perbincangan secara maya dengan wakil Kerajaan Pusat dan Peguam Negara pada 24 Julai lalu.

“Kedua-duanya digubal dan dimaktubkan oleh Kerajaan Pusat dan menjadi tanggungjawab untuk memastikan setiap yang termaktub dilaksanakan termasuk dalam hal mengemukakannya ke Parlimen untuk perbahasan dan kelulusan,” katanya.

Menurutnya, langkah itu perlu kerana jika tidak dikemukakan kepada Parlimen untuk dibahas dan dilulus pembatalannya, setiap perkara terkandung dalam Ordinan Darurat 2021 khususnya, akan kekal berkuat kuasa untuk selama enam bulan akan datang.

“Yang utamanya, rakyat perlu diberi kesedaran dan mereka juga berhak mengetahui perkara sebenar tanpa berselindung mengenai isu diperkatakan sekarang,” katanya.