Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gimail.com.my
KUANTAN: Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, di sini, terkejut sebaik diumumkan memenangi tiga pingat emas sempena The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) di Toronto, Kanada.
Maryam Muzamir, 11, berkata: “Terima kasih ayah dan ibu yang sentiasa memberikan sokongan. Saya sememangnya sangat terkejut dengan pencapaian ini.”
Sementara itu, bapa Maryam, Prof Madya Dr Muzamir Hasan, berkata pada awalnya beliau menjangkakan sukar bagi anaknya itu untuk meraih kejayaan.
Bagaimanapun, katanya, dengan inovasi anak sulungnya itu, tiada yang mustahil untuk dicapai dan membuat keputusan menghantar penyertaan.
“Alhamdulillah, penyertaan inovasi yang dinamakan YAM 2.0 iaitu makanan haiwan yang diperbuat daripada kulit udang dan siput sedut,” katanya.
Kejayaan Maryam turut mendapat perhatian media antarabangsa apabila kejayaannya itu disiarkan dalam rancangan ‘talk show’ terkenal terbitan CBS, The Late Late Show with James Corden.
Corden dipetik sebagai berkata: “Anda mungkin pernah dengar mengenai budak ini. Sangat menakjubkan. Dia menemui cara menjadikan bahan buangan untuk dijadikan makanan haiwan.
“Maryam Muzamir ini berusia 11 tahun dan bersekolah di Malaysia. Yeah, di Malaysia. Dia memang tiga emas kerana ideanya itu.”
Maryam bukan saja mengenepikan 600 peserta lain daripada 70 negara, tetapi turut muncul pemenang termuda dalam pertandingan itu.