Adik Maryam raih dua emas BIS 2022

Adik Maryam raih dua emas BIS 2022

KUANTAN: Maryam Muzamir yang berusia 12 tahun sekali lagi mengharumkan nama negara selepas memenangi dua pingat emas di British Invention Show (BIS 2022).

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, di sini, memenangi ‘Double Gold Award’ dan ‘Chairman’s Special Recognition Award – Young Ambassador of Innovation’ di pertandingan ciptaan dan inovasi paling lama di United Kingdom.

Kejayaan itu diraih hasil ciptaan inovasi makanan ternakan daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan YAM 2.0.

“Saya bersyukur kerana kejayaan ini meningkatkan semangat kerana ia kali kedua meraih pencapaian ini dari luar negara.

“Pada Ogos tahun lalu, saya memenangi tiga pingat emas dalam Pertandingan Ciptaan, Inovasi Antarabangsa Keenam di Toronto, Kanada.

“Saya menghantar penyertaan BIS 2022, pada Mei lalu. Sebulan diperlukan sebagai persediaan untuk memastikan segalanya mengikut syarat,” katanya.

Keputusan pertandingan itu diumumkan pada 27 Jun lalu menerusi emel tetapi pingat dan sijil hanya diterima Rabu lalu.

Sementara itu, bapanya, Prof Madya Dr Muzamir Hasan, berkata pencapaian itu amat menggembirakannya selepas sebulan membuat persediaan sebelum menghantar penyertaan pada Mei lalu.

 “Kami bersyukur dan terima kasih kepada semua pihak yang selama ini membantu dan menyokong Maryam,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN