ADUN Chini dekati pesakit kronik

ADUN Chini dekati pesakit kronik

PEKAN: Penderitaan penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini yang berdepan penyakit kronik tidak dipinggirkan.

Ia dibuktikan dengan keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain yang sentiasa peka dengan kebajikan penduduk di kawasan DUN Chini.

Melalui program Ziarah Kasih, Mohd Sharim mendekati penduduk terutama individu yang berdepan dengan masalah kesihatan.

“Program ini bertujuan mendapatkan maklumat dan memberikan bantuan sewajarnya bagi meringankan beban pesakit.

“Pada 21 Jun lalu, saya mengadakan program Ziarah Kasih di sekitar kampung tradisi iaitu Kampung Batu Balik, Kampung Tanjung, Kampung Sepaku dan Kampung Baru Salong.

“Saya menziarahi enam penduduk yang menghidap pelbagai penyakit antaranya lumpuh dan gout kronik serta seorang warga emas di empat kampung berkenaan,” katanya. 

Mohd Sharim berkata, program Ziarah Kasih akan diteruskan dari semasa ke semasa serta mengalu-alukan maklumat berkaitan penduduk yang menghidap penyakit kronik di samping penduduk yang uzur. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN