ADUN Kuala Semantan sumbang komputer riba untuk kemudahan petugas Pusat Pemberian Vaksin Dewan Tun Razak di Temerloh

ADUN Kuala Semantan sumbang komputer riba untuk kemudahan petugas Pusat Pemberian Vaksin Dewan Tun Razak di Temerloh

Izzah Yusoff

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

TEMERLOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Dato’ Azmi Mat Ludin mengambil inisiatif menyumbang dua unit komputer riba untuk kegunaan petugas di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Tun Razak, Temerloh, hari ini.

  Azmi berkata, sumbangan itu bagi melancarkan urusan di pusat vaksin berkenaan selepas beliau mendapat tahu mengenai kekurangan peralatan komputer di situ.

  “Ini komitmen saya bagi memastikan masyarakat di dalam DUN (Dewan Undangan Negeri) Kuala Semantan lebih mudah berurusan di tempat berkenaan bagi mendapatkan suntikan vaksin,” katanya hari ini.

 Sementara itu, seorang petugas yang ditemui memberi maklum balas positif terhadap sumbangan itu.

 “Sumbangan ini menunjukkan komitmen tinggi YB ADUN (Azmi) menyokong kerja-kerja yang kami lakukan.

 “Terima kasih YB Azmi kerana mengambil cakna aduan kami dan dalam tempoh sehari sahaja bantuan komputer riba ini tiba,” katanya yang enggan dikenali.