ADUN Muadzam Shah ligat agih bantuan buat penduduk terkesan

ADUN Muadzam Shah ligat agih bantuan buat penduduk terkesan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

MUADZAM SHAH: Sekurang-kurangnya 470 bakul makanan dibekalkan kepada Pusat Program Makanan Komuniti Rancangan (PMKR) Keratong 8, di sini, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah, Ir Razali Kassim, berkata bakul makanan itu kemudian diagihkan secara berperingkat kepada penduduk yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurutnya, berkenaan turut diberikan kepada kakitangan FELDA yang dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Keratong 8.

Katanya, barangan keperluan asas yang diberikan termasuk beras, minyak masak, telur, tepung, gula dan biskut. 

“Sebelum ini, bantuan yang sama diberikan kepada golongan yang terkesan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muadzam Shah. Agihan dilakukan secara berperingkat.

“Saya berharap bantuan diberikan itu dapat meringankan mereka yang terkesan, ini bukti betapa prihatin kerajaan negeri pada penduduk negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, bantuan turut diberikan kepada mereka yang terpaksa dikuarantin di rumah membabitkan penduduk di kawasan Selancar.

“Kita akan terus berusaha membantu meringankan beban penduduk dalam kawasan DUN Muadzam Shah sama ada di taman perumahan, kampung, peneroka dan masyarakat Orang Asli,” katanya.