ADUN Teratai dibebaskan dengan jaminan polis

ADUN Teratai dibebaskan dengan jaminan polis

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

LIPIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong yang ditahan bersama 28 yang lain di Kampung Rakoh, Pos Lenjang, Sungai Koyan, di sini, semalam, dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata,  mereka termasuk lapan wanita itu dibebaskan selepas pegawai penyiasat selesai mengambil keterangan.

Katanya, 29 individu, termasuk ADUN Teratai itu disiasat kerana memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis tanpa kebenaran.

“Polis kini sedang menyiapkan kertas siasatan dan semua 29 individu termasuk ADUN Teratai dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 3 pagi, hari ini.

“Mereka disiasat mengikut Akta 47(1)Akta Perhutanan Negara APN 1984 dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Fikrah Pahang melaporkan, ADUN Teratai, Bryan Lai Wai Chong antara 29 individu yang ditahan kerana memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai tanpa kebenaran.

Mereka ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Rakoh, Pos Lenjang, Sungai Koyan pada jam 8 pagi.

Siasatan awal mendapati kumpulan itu sudah memasuki HSUJ sekitar jam 11 pagi kelmarin tanpa kebenaran dan dimaklumkan untuk memberi bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli Pos Lenjang.