Aedes ada Wolbachia digunakan bagi mengawal denggi

Aedes ada Wolbachia digunakan bagi mengawal denggi

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 876,400 telur Aedes mengandungi bakteria ‘Wolbachia’ dilepaskan di dua lokasi di daerah ini iaitu di Taman Impianku dan Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, 14 siri pelepasan telur nyamuk akan dilakukan di dua kawasan berkenaan sehingga Mac 2025. 

“Pelepasan nyamuk Aedes Wolbachia bertujuan menggantikan populasi Aedes yang menyebarkan virus denggi seterusnya mengurangkan beban morbiditi dan kematian kerana demam denggi.

“Projek pelepasan nyamuk Aedes Wolbachia ini terbukti berjaya menunjukkan penurunan kes demam denggi di antara 40 dan 80 peratus berdasarkan kajian rintis di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media selepas Lawatan Projek Pelepasan Nyamuk Aedes berWolbachia di Taman Impianku, di sini, hari ini. 

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Dato’ Dr Nor Azimi Yunus. 

“Sehingga ini, kadar penetasan nyamuk Aedes berWolbachia di kedua kawasan ini adalah sangat baik iaitu melebihi 90 peratus dan tiada kes demam denggi dilaporkan di kedua-dua lokaliti,” katanya. 

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, 976 kes demam denggi dilaporkan sepanjang 2022 berbanding 428 kes bagi tempoh sama pada 2021.

“Terdapat satu kes kematian denggi dilaporkan pada 2022 berbanding tiga kes kematian pada tahun sebelumnya. 

“Terdapat 52 lokaliti wabak denggi dilaporkan pada 2022 dengan peningkatan lokaliti wabak pada kadar 93 peratus berbanding 27 lokaliti dalam tempoh sama pada 2021.

“Daripada jumlah itu, dua lokaliti adalah kawasan ‘hotspot’, satu lokaliti wabak tidak terkawal manakala 49 lokaliti wabak terkawal,” katanya. – FATH AHNAF