KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang mendapati ada pengemis di daerah ini terdiri daripada penerima bantuan bulanan yang disediakan kerajaan.
Ketua Penolong Pengarah JKM Pahang, Mohamed Sabri Aris berkata setiap kali dilakukan operasi pengemis pihaknya akan bertemu dengan pengemis yang berdaftar dengan JKM.
Menurutnya, golongan terbabit menjadikan aktiviti mengemis atau meminta sedekah sebagai kerjaya kerana mampu memberi pendapatan yang lumayan.
“Kita dari semasa ke semasa akan mengambil pengemis di tumpuan orang ramai. Pengemis yang ditahan akan diserahkan kepada keluarga. Pengemis asing pula diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya pada Program Jerayawara, di sini, kelmarin.
Program berkenaan diadakan bagi memberi penerangan kepada orang ramai supaya tidak membantu pengemis membabi tuli supaya tidak ditipu. – MOHD IMRAN IZZAD