Agong ajak rakyat Malaysia berdoa

Agong ajak rakyat Malaysia berdoa

RAUB: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini, hari ini. 

Antara PPS terbabit adalah di SK Ulu Sungai, Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim, Dewan Kampung Sega Lama, SK Muhammad Jabar, Dong dan Balairaya Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong.

Turut berangkat, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Keberangkatan tiba baginda di PPS pertama iaitu SK Ulu Sungai disambut YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak, pada kira-kira 12 tengah hari.

Sejurus ketibaan, baginda berkenan menerima persembahan taklimat oleh Pegawai Daerah Raub, Dato’ Mohammad Shahid Ismail.

Baginda kemudiannya berkenan meluangkan hampir tiga jam menyantuni dan beramah mesra bersama semua mangsa banjir di kelima-lima PPS berkenaan.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 277 keluarga yang ditempatkan di lima PPS itu dengan harapan ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir.

Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua jabatan dan agensi kerajaan yang membantu menguruskan mangsa banjir.

Selain itu, baginda mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan agar situasi banjir dan cuaca buruk yang berlaku di Malaysia tidak berlarutan dan segera berakhir. – ISTANA NEGARA