Agong anugerahkan PhD kepada bekas PM Jepun

Agong anugerahkan PhD kepada bekas PM Jepun

KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini menganugerahkan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada bekas Perdnaa Menteri Jepun, Shinzo Abe sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dijadualkan berlangsung esok. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda Tuanku menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Abe atas penganugerahan berkenaan..

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Abe dan Kerajaan Jepun sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) Malaysia dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun.

Untuk makluman, Abe juga adalah Utusan Khas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.

Difahamkan, sesi menghadap hari ini adalah kali kedua antara Al-Sultan Abdullah bersama Abe yang mana pertemuan pertama berlangsung pada 23 Oktober 2019 sempena lawatan khas Seri Paduka Baginda menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126, Maharaja Naruhito, di Istana Imperial, Tokyo, Jepun.

“Tuan Yang Terutama Shinzo Abe kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia bermula semalam bersempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) Malaysia dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-Jepun.

“Lawatan khas beliau mencerminkan keakraban dan kerjasama erat dalam pelbagai bidang di antara Malaysia dan Jepun. Pelaksanaan DPT selama empat dekad berjaya menghasilkan faedah besar, terutamanya dalam aspek pembangunan modal insan dan perdagangan serta pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya.

Untuk rekod, pada 2021, Jepun menjadi rakan dagang keempat terbesar bagi Malaysia dengan nilai dagangan dua hala RM149 billion (AS$36 billlion). 

Sehingga September tahun lalu, Jepun muncul pelabur terbesar berdasarkan jumlah projek dilaksanakan dalam sektor pembuatan dengan nilai keseluruhan RM91.7 billion (AS$28.2 billion). – HELMY ABD RAHMAN