FARNBOROUGH (UNITED KINGDOM): KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough 2022 (FIA2022) di sini, semalam.
Keberangkatan tiba baginda di Farnborough International Exhibition and Conference Centre pada jam 10.30 pagi waktu tempatan (5.30 petang), disambut Pengerusi Farnborough International, Paul Everitt dan barisan kepemimpinan tertinggi Farnborough International.
Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom (UK), Zakri Jaafar.
Laman Facebook rasmi Istana Negara hari ini, memaklumkan dalam lawatan yang berakhir jam 3.45 petang waktu tempatan itu, baginda berkenan menziarahi dan menerima sembah taklimat setiap wakil syarikat dan organisasi yang mengambil bahagian dalam FIA2022.
Ia termasuk lawatan baginda ke Pavilion Malaysia yang diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
“Sebanyak 17 syarikat Malaysia dengan kerjasama MATRADE dan tiga agensi kerajaan iaitu Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Negara, Teraju Bumiputera Corporation dan Invest Selangor Berhad mengambil bahagian di FIA2022 di bawah Pavilion Malaysia.
“Selain itu, baginda berkenan bertemu dan menyantuni Menteri Eksport United Kingdom, Andrew Griffith dalam lawatan semalam,” petik Istana Negara.
FIA2022 adalah acara dwitahunan yang berlangsung selama seminggu, bermula pada 18 Julai 2022.
Pameran itu menggabungkan pameran perdagangan, untuk industri aeroangkasa dan pertahanan serta pertunjukan udara.
MATRADE mengambil bahagian dalam pameran itu sejak 2014. Pada tahun 2021, eksport bahagian dan komponen aeroangkasa Malaysia berjumlah RM5.79 bilion dengan pasaran eksport utama ialah Perancis, China dan UK. – HELMY ABD RAHMAN