Agong berkenan berangkat ke Majlis Tahlil dan Makam Diraja

Agong berkenan berangkat ke Majlis Tahlil dan Makam Diraja

PEKAN: KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Tahlil dan Ziarah Makam Diraja Sempena Istiadat Hari Hol Yang Ke-3 kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Makam Diraja, di sini, hari ini. 

Baginda diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan tiba di Makam Diraja pada 11.10 pagi. 

Turut berangkat Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan kerabat Diraja Pahang.

Turut hadir barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Dato’ Sri Mohd Soffi Razak, Dato’ Sri Norol Azali Sulaiman, Dato’ Nazri Ngah, Dato’ Abdul Aziz Kiram; Ketua Polis Pahang, Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf dan Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman.

Upacara berkenaan dimulakan dengan bacaan Yasin, tahlil dan doa diketuai Dr Abdul Rahman sebelum Al-Sultan Abdullah berkenan menyiram air dan menabur bunga pada makam Almarhum Sultan Ahmad Shah dan beberapa makam kerabat diraja lain.

Baginda kemudian berkenan meluangkan masa menyantuni pelajar tahfiz yang turut sama menyertai majlis itu. 

Almarhum Sultan Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 88 tahun, 8.50 pagi, 22 Mei 2019.