Agong berkenan rasmi Kompleks Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang

Agong berkenan rasmi Kompleks Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang

KUANTAN:  KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Kompleks Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) di Balok di sini.

Turut berangkat, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 11 pagi, disambut YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepemimpinan negeri; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, Dato’ Mahmud Mohd Nawawi serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) Dato’ Suhaimi Mohd Yunus.

MTTNP wujud hasil kerjasama pintar antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) dan Yayasan Pahang (YP).

Terletak di Perkampungan Balok Baru, bangunan yang dahulunya sebuah kawasan hotel iaitu Muara Beach Resort, diambil alih oleh PKPP untuk dijadikan MTTNP pada 2015.

MTTNP menumpukan pengajian kitab kuning atau kitab klasik ditulis oleh ulama-ulama muktabar ratusan tahun dahulu, antaranya Imam Syafi’e, Imam Nawawi dan Imam Al-Ghazali meliputi pengajian Kitab Feqah, Aqidah, Tasauf serta Bahasa Arab.

Kaedah pembelajaran di maahad tahfiz berkenaan diberi nafas baru menggunakan pendekatan moden, namun masih mengekalkan ciri tradisional dalam sanad keilmuan, tarbiah dan adab sistem pengajiannya.

Selain pengajian kitab Turath, pelajar disasarkan menghafaz 30 juzuk al-Quran dan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) melalui subjek akademik antaranya terdiri daripada sains, matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. – HELMY ABD RAHMAN