Agong berkenan rasmi Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8

Agong berkenan rasmi Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8

PUTRAJAYA: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berkenan merasmikan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8 yang berlangsung, di sini, 25-30 September.

Baginda diiringkan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah bertitah agar Simposium Tekstil Tradisional ASEAN dwitahunan itu terus diadakan di negara lain pada masa hadapan dengan menghimpunkan penggiat seni tekstil dari ASEAN dan rantau lain untuk berkongsi maklumat mengenai keunikan tekstil masing-masing.

“Sambutan untuk acara ini amat menggalakkan dengan lebih 300 peserta. Saya berharap semua peserta akan bergembira di sini,” kata Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka baginda turut mengucapkan tahniah kepada Tunku Azizah dan pasukannya atas usaha mereka dalam menganjurkan acara dengan jayanya.

“Beta perlu memberitahu bahawa Raja Permaisuri sangat sibuk dalam memastikan simposium ini berjaya. 

“Beta ingin berkongsi bahawa beta melihat betapa mendalamnya minat Raja Permaisuri untuk memastikan kejayaan acara ini, baginda kadangkala tidak dapat tidur pada waktu malam,” titah Al-Sultan Abdullah.

Simposium berkenaan dianjurkan Yayasan Tenun Pahang Diraja, mempamerkan keindahan tekstil Malaysia termasuk songket dan batik selain teknik pembuatan tekstil warisan Melayu seperti tekat, tenun, telepuk dan menggerus untuk dipelajari oleh masyarakat dunia.

Sempena simposium itu, 19 kertas kerja akan dibentangkan oleh wakil 13 negara, termasuk Brunei, Indonesia, Kemboja, Kanada, India, Filipina dan Myanmar, khususnya untuk membincangkan mengenai pemeliharaan seni dan kelestarian tekstil tenunan asli di rantau ASEAN. 

Sementara itu, Tunku Azizah yang juga pengasas dan penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas usaha dalam menyokong dan memelihara seni kraf tekstil berkenaan.

“Dari lubuk hati beta, beta ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan. Terima kasih banyak-banyak. Kita harus memelihara apa sahaja yang kita ada untuk generasi akan datang,” titah Tunku Azizah. 

Tunku Azizah bertitah, Institut Kraf Negara di Rawang, Selangor, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Kuala Lumpur, Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam di Pekan, Pahang, dan program pemulihan penjara oleh Jabatan Penjara, merupakan pencapaian khas hasil inisiatif kerajaan.

Baginda juga mengumumkan penubuhan Persatuan Artisan Diraja Malaysia sebagai sebuah persatuan untuk mengiktiraf segelintir artisan yang mahir dan hasil usaha mereka yang lampau dan masa depan. – BERNAMA /Gambar ihsan Bernama