Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Orang Besar Berlapan dan Ahli Jumaah Pangkuan Negeri Pahang Darul Makmur, Dato’ Setia Wangsa Dato’ Indera Mustafar Abu Bakar, yang meninggal dunia, malam tadi.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham, selaku Orang Besar Berlapan dan Ahli Jumaah Pangkuan kepada kesultanan Pahang, masyarakat dan negeri Pahang.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.