Agong dan Permaisuri Agong ucap takziah kepada keluarga Siti Sarah Raissuddin

Agong dan Permaisuri Agong ucap takziah kepada keluarga Siti Sarah Raissuddin

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang kembali ke Rahmatullah jam 5.13 pagi, hari ini.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah berdepan dugaan serta suasana sedih dan pilu.

Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

Siti Sarah yang popular dengan lagu berjudul Kesetiaan, disahkan meninggal dunia jam 5.13 pagi, hari ini, selepas tiga hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat tahap oksigen menurun.

Siti Sarah sebelum ini terpaksa ditidurkan bagi membolehkan doktor mengeluarkan bayi dalam kandungan yang ketika itu berusia tujuh bulan atau pra-matang.

Allahyarham meninggalkan suami, Shuib Sepahtu yang dinikahi sejak 10 tahun lalu selain empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, serta Ayash Affan yang dilahirkan pada Jumaat lalu.

Allahyarham Siti Sarah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, di sini, kira-kira jam 1.20 tengah hari ini.