Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar ihsan FB DS Hishamuddin Hussein
KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, hari ini menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Penjaga Dua Masjid Suci, Yang Mulia Raja Salman Abdulaziz Al Saud atas sumbangan sejuta dos vaksin AstraZeneca dan 4.5 juta unit peralatan perubatan bernilai AS$5 juta bagi membantu Malaysia menangani cabaran pandemik COVID-19.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Yang Mulia Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud dan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al-Saud atas sumbangan itu yang tiba di Malaysia menerusi dua buah pesawat Saudia Airlines semalam dan sebuah lagi hari ini.
Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai kemurahan hati Yang Mulia Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang menitahkan Pusat Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) supaya segera menyalurkan sumbangan vaksin dan peralatan perubatan kepada Malaysia.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein atas pelaksanaan kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini.
“Menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, turut menyampaikan ucapan terima kasih Baginda kepada Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan dan kerajaan Arab Saudi atas sumbangan ini,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, sumbangan berkenaan jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.
“Semoga sumbangan bekalan vaksin dan peralatan perubatan ini membantu negara memerangi pandemik COVID-19 dan memperhebatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Seri Paduka Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” demikian menurut kenyataan itu.