Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan selamat menyambut hari raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di negara ini mahupun di luar negara.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita kerana buat kedua kalinya umat Islam di negara ini tidak dapat meraikan hari yang bermakna ini seperti kelazimannya akibat pandemik COVID-19.
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar umat Islam di negara ini terus cekal dan bersabar serta bersyukur kerana masih lagi diberi kesihatan serta kekuatan untuk menyambut Aidiladha pada tahun ini dalam suasana sederhana bersama keluarga tercinta.
Selain itu, Seri Paduka Baginda berdua merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan petugas barisan hadapan di atas kegigihan, komitmen dan pengorbanan berterusan tanpa mengira masa serta penat lelah merawat pesakit-pesakit COVID-19 selain dedikasi memerangi pandemik berkenaan sejak tahun lalu.
Justeru, Seri Paduka Baginda berdua menyeru seluruh umat Islam di negara ini dalam meraikan hari yang bermakna ini tidak alpa dan berdisiplin dalam kawalan kendiri serta mematuhi semua perintah dan prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Kerajaan.
Seri Paduka Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menyeru umat Islam di negara ini untuk bersama Baginda berdua mendoakan agar sentiasa di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.