Agong dan Permaisuri tetap bangga dengan Muhammad Ziyad

Agong dan Permaisuri tetap bangga dengan Muhammad Ziyad

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian atlet lontar peluru F20 negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 walaupun kejayaan meraih pingat emas dalam acara itu dibatalkan penganjur.

Turut sama menzahirkan kebanggaan ialah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi Facebook rasmi Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian cemerlang Muhammad Ziyad yang memecahkan rekod dunia milik beliau sendiri dengan lontaran sejauh 17.94 meter, meskipun keputusan jawatankuasa rayuan tidak memihak kepada beliau dan negara.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar Muhammad Ziyad Zolkefli bersabar dengan ujian yang dihadapi dan tidak patah semangat serta berputus asa dengan isu pembatalan kemenangan.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar Muhammad Ziyad terus berusaha serta kekal fokus untuk memburu kejayaan di kejohanan-kejohanan mendatang.

Bagi Seri Paduka Baginda, Muhammad Ziyad telah memberi yang terbaik untuk diri beliau dan juga negara dan semangat ditonjolkannya dapat dijadikan teladan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Seri Paduka Baginda turut menyeru kepada pihak-pihak berkaitan untuk memperhalusi sebab pembatalan kemenangan Muhammad Ziyad Zolkefli ini supaya ia tidak berulang pada masa hadapan.