Oleh Husin Ibrahim
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pix
PEKAN: “Dah lama saya tidak menaiki bot semasa banjir seperti tadi,” titah KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara berseloroh dengan pemimpin mayarakat dan penduduk di puaat pemindahan sementara (PPS) di Paloh Hinai, dekat sini, hari ini.
Terdahulu, baginda bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskadariah dan putera serta puteri baginda, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, menaiki sebuah sampan meredah kawasan banjir.
Baginda yang mendayung sendiri sampan gentian kaca berkenaan meninjau kawasan ditenggelami banjir di Kampung Tanjung Medang dan Kampung Temai.
Dalam kunjungan ziarah-tinjau itu, baginda melawat PPS di Kampung Tanjung Medang, Kampung Padang Rumbia, Kampung Temai, Kampung Pulau Rumput, Kampung Serambi dan Kampung Paloh Hinai.
Seri Paduka juga melapangkan masa untuk beramah mesra dengan mangsa banjir yang masih berada di beberapa PPS di daerah ini.
Setiap kali musim banjir, Pekan menjadi daerah terakhir dinaiki air akibat limpahan Sungai Pahang berikutan kedudukan geografinya berhampiran muara sungai dan kebiasaannya banjir di daerah ini mengambil masa yang agak lama untuk surut dan kering ekoran fenomena banjir termenung.