Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa Kerajaan sudah membatalkan semua Ordinan Darurat dimasyhurkan Baginda sepanjang tempoh darurat, sedangkan pembatalan belum lagi diperkenankan Baginda.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenankan dan dipersetujui sebelum ini dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun ketika majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.
Beliau berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.
Katanya, Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.
“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.
“Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai 2021 yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan dan kenyataan mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media dikeluarkan Istana Negara, hari ini.
Ahmad Fadil berkata, Baginda Tuanku maklum untuk Baginda bertindak mengikut nasihat jemaah menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Baginda Tuanku turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan atas pelaksanaan persidangan Parlimen yang bermula pada hari Isnin lalu.
“Ia sejajar dengan saranan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam Perbincangan Khas yang telah diadakan pada 16 Jun, 2021 supaya persidangan Parlimen dapat diadakan sebelum tamatnya tempoh Darurat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa setiap ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik COVID-19 sekarang.
“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.