TEMERLOH: “Reka bentuk rumah bertiang sesuai dijadikan contoh pembinaan rumah di tepi sungai selepas ini kerana ia lebih selamat daripada ancaman banjir,” demikian titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Titah baginda, reka bentuk rumah bertiang kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (Yasa) juga lebih sekiranya berlaku banjir kerana tidak mudah dinaiki air.
“Pembinaan rumah bertiang tinggi ini memudahkan penduduk jika musim banjir berlaku, di mana ia lebih selamat.
“Jadi mana-mana rumah yang nak di bina di tepi Sungai Pahang perlu mengambil kira ketinggian air banjir yang sering berlaku dan ia dapat menjadi contoh kepada rumah-rumah yang terdapat di persekitaran, di tepi-tepi sungai ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas mendengar sembah taklimat daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Ir Hafizah Zakaria mengenai pembinaan rumah bertiang kurniaan Yasa pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kuruniaan Yasa di Kampung Lompat, di sini, hari ini.
Turut mencemar duli, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tiba bersama baginda jam 11.30 pagi.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda dan Pegawai Daerah Temerloh, Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.
Dalam titah ringkasnya juga, Baginda Tuanku mengucapkan tahniah kepada penerima rumah dan menitahkan supaya mereka menjaganya dengan baik.
“Saya juga nak ucap tahniah kepada penghuni dan harap mereka dapat jaga rumah ini sebaik mungkin, harap dapat tahan hingga 100 tahun,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan sebelum meninjau rumah yang berkeluasan 960 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan tiga bilik air selain tangga di hadapan dan belakang rumah.
Pada masa sama, baginda turut menggalakkan anak muda kampung berkenaan mempelajari seni silat bagi mempertahankan seni budaya tradisi selain dapat mengukuhkan ukhwah antara penduduk.
Baginda kemudiannya berkenan mengurniakan sumbangan kepada dua lagi penerima di Kampung Pangsenam dan Kampung Tanjung Pasir, di sini pada sebelah petang.
Setiap unit rumah bertiang kurniaan Yasa dibina dengan kos RM100,000 dan dilengkapi perabot serta set bilik tidur. – MUHAMMAD NAJMIE