KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sukacita dan kagum dengan majlis sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, pada 31 Ogos lalu.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata penghargaan turut diberikan baginda kepada rakyat yang telah datang memenuhi lokasi majlis dan kawasan sekitar untuk menyertai dan secara berdisiplin menonton sambutan hari yang bersejarah itu yang dilaporkan melebihi jangkaan 50,000 orang.
Katanya, baginda menzahirkan harapan semoga semangat itu secara langsung mencerminkan keakraban rakyat pelbagai kaum dan memperkukuhkan keharmonian negara.
“Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah dan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, semua peserta dan penganjur, khususnya kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah bertitah semangat perpaduan, patriotisme dan cintakan negara yang dipamerkan oleh rakyat pada sambutan itu dan majlis yang telah dianjurkan di seluruh negara adalah sangat membanggakan.
“Baginda juga amat kagum menyaksikan persembahan yang telah ditunjukkan oleh semua kontinjen agensi kerajaan dan murid sekolah yang mengambil bahagian di majlis itu.
“Semangat kenegaraan dan cintakan negara yang telah dipamerkan oleh mereka, khususnya murid sekolah yang terdiri daripada pelbagai peringkat persekolahan dan kaum adalah sewajarnya dipuji dan dicontohi,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN