Agong kurnia sumbangan buat 216 KIR Orang Asli Cameron Highlands

Agong kurnia sumbangan buat 216 KIR Orang Asli Cameron Highlands

KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyempurnakan majlis pengurniaan sumbangan kepada Orang Asli di Cameron Highlands.

Keberangkatan tiba baginda disambut Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khairulanwar Syed Abdul Rahman dan Ketua Polis Pahang, Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf.

Istana Negara menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, semalam, memaklumkan baginda berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur kepada 63 Ketua Isi Rumah (KIR) di Kampung Orang Asli Menson dan 153 KIR di Kampung Orang Asli Sungai Relong.

Baginda turut berkenan menyantuni penerima sumbangan dengan bertanya khabar serta menasihati penduduk agar sentiasa menjaga kesihatan diri, keluarga dan warga emas.

Baginda bertitah sekiranya penduduk mempunyai sebarang permasalahan hendaklah sentiasa merujuk kepada Tok Batin agar tindakan selanjutnya dapat diambil dan disegerakan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN