KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan supaya pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini melakukan ujian saringan Covid-19 kepada mangsa banjir sebaik mereka tiba.
Baginda bertitah, langkah itu penting bagi membolehkan setiap mangsa yang positif Covid-19 diasingkan supaya tidak berlaku penularan.
“PPS ini harus melaksanakan SOP (prosedur operasi standard) Covid-19 yang ketat… bila (mangsa banjir) masuk, buat ‘swab test’ supaya mereka yang positif Covid-19 diasingkan.
“Kita tak mahu PPS ini jadi kluster (Covid-19). Siapa yang bertanggungjawab perlu beri perhatian sewajarnya dan kita tak boleh berkompromi dalam hal ini,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke PPS Wisma Belia, Indera Mahkota di sini hari ini, bagi meninjau keadaan mangsa banjir di situ.
Baginda Tuanku diiringi Raja Permaisuri Agong, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hasanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda dan Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu.
Terdahulu, baginda Tuanku dipersembahkan engan taklimat oleh Wan Mohd Zahari mengenai status banjir di Kuantan.
Seramai 255 mangsa banjir ditempatkan di PPS Wisma Belia sejak kelmarin.
Selepas bertanya khabar dan menghulurkan bantuan peribadi kepada mangsa, Al-Sultan Abdullah berangkat pula ke PPS Dewan Paya Besar yang menempatkan 424 mangsa. HELMY ABD RAHMAN DAN HUSIN IBRAHIM