Agong mahu umat Islam negara ini imarahkan Ramadan, ambil dos penggalak  

Agong mahu umat Islam negara ini imarahkan Ramadan, ambil dos penggalak  

KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan dan menunaikan ibadah puasa kepada kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi Istana Negara hari ini, baginda Tuanku menyeru seluruh umat Islam mengumpulkan keberkatan untuk meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri dan menggandakan ibadah serta amalan masing-masing sempena ketibaan Ramadan.

Baginda turut menyeru umat Islam di Malaysia mengimarahkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini dengan pelbagai bentuk pengisian bermakna dan mengukuhkan lagi ukhuwah sesama insan.

Menurut hantaran itu lagi, baginda bertitah syiar Ramadan bertujuan melahirkan manusia bertakwa sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 183 yang bermaksud: Wahai orang beriman, difardukan ke atas kamu ibadah puasa sebagaimana difardukan ke atas umat-umat sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi golongan yang bertakwa (kepada Allah).  

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan semoga kehadiran bulan mulia ini disambut dengan rasa insaf dan syukur atas ujian, rahmat serta nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita.

“Baginda Tuanku juga menasihati seluruh rakyat Malaysia supaya tidak leka dan beristiqamah mengamalkan kawalan kendiri dalam mencegah penularan COVID-19 meskipun negara telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik semalam,” petik hantaran itu. 

Selain itu, umat Islam negara ini dinasihati supaya terus cekal mengharungi ujian penularan COVID-19 dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi fasa peralihan ini.

“Rakyat juga dinasihati memastikan diri dan keluarga tersayang dilindungi dengan pengambilan dos vaksin penggalak COVID-19.

“Seri Paduka Baginda berdua mengajak seluruh umat Islam mengambil keberkatan Ramadan untuk bersama Baginda berdua mendoakan semoga Malaysia terus dirahmati dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah serta penularan COVID-19 dapat diakhiri dengan segera,” kongsi hantaran itu. – HELMY ABD RAHMAN