KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat, khususnya di negeri pantai timur, Johor dan Sabah supaya bersiap sedia berdepan kemungkinan berlaku episod banjir besar akibat hujan lebat berterusan.
Titah nasihat baginda itu susulan amaran tahap waspada (kuning) iaitu hujan berterusan yang dijangka dialami beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga 2 Januari depan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) kelmarin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko dilanda banjir supaya peka terhadap ramalan dan amaran dikeluarkan serta sentiasa berwaspada sekiranya paras air naik mendadak akibat hujan lebat berterusan.
Katanya, ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga masing-masing.
“Menzahirkan keprihatinan tinggi terhadap kemaslahatan rakyat, baginda menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana bencana banjir sebelum ini untuk membaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan, khususnya segala urusan pasca banjir.
“Sehubungan itu, baginda menasihati agensi kerajaan berkaitan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak leka dan bersikap proaktif demi memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, baginda menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan terancang, operasi menyelamat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya mereka yang berada di kawasan berkepadatan tinggi serta pedalaman, dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.
“Baginda turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan supaya gelombang kedua banjir yang akan berlaku ini tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN