Agong nasihati rakyat jaga kesihatan, bersatu bendung COVID-19

Agong nasihati rakyat jaga kesihatan, bersatu bendung COVID-19

Muhammad Izz Zahin 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

 KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat supaya terus menjaga kesihatan diri dan bersatu untuk mewujudkan persekitaran selamat demi membendung penularan pandemik COVID-19. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka Baginda berpandangan sikap segelintir yang tidak bertanggungjawab dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang sudah termaktub hanya akan membawa musibah kepada masyarakat selain berupaya menggugat Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirangka kerajaan. 

Katanya, Baginda Tuanku menasihatkan rakyat menyedari bahawa usaha mengekang pandemik berkenaan memerlukan kesepaduan dan kesatuan seluruh rakyat, pemimpin serta kerajaan dengan menolak perbezaan pendapat .

Oleh yang demikian, beliau berkata, Seri Paduka Baginda mengingatkan supaya pertikaian politik diketepikan agar wujud simbiosis erat antara semua untuk berjuang membawa negara merdeka dari pandemik yang melanda sekarang. 

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kesyukuran kerana pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-64 tahun, perpaduan dan keharmonian rakyat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara yang kita cintai bersama ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini 

Beliau berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, walaupun tahun ini kali kedua negara menyambut Hari Kebangsaan dalam suasana pandemik COVID-19, ia tidak menghalang dan mematahkan semangat patriotisme serta kesatuan untuk terus meraikannya. 

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat mengimbau kembali enam dekad lalu di mana semangat patriotisme dan cintakan tanah air berjaya menyatupadukan rakyat sekeliannya dengan tekad dan iltizam untuk bangkit menentang penjajah sehingga kemerdekaan diidamkan menjadi realiti. 

“Justeru, Baginda Tuanku menzahirkan pandangan bahawa sekiranya semangat dan roh perjuangan enam dekad lalu diterap dan disuburkan kembali hari ini, nescaya negara juga berupaya untuk merdeka daripada ancaman pandemik COVID-19 buat selama-lamanya,” katanya.