Agong perkenan supaya Muhyiddin jalan tugas PM sementara

Agong perkenan supaya Muhyiddin jalan tugas PM sementara

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Ia susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan seluruh jemaah menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum itu.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan dikeluarkan Istana Negara hari ini.

“Ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan jemaah menteri.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada YAB Muhyiddin dan jemaah menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang dilaksanakan di bawah PN bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19.

“Selaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka Baginda memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara serta menghormati apa-apa keputusan dibuat oleh YAB Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan itu.

Terdahulu, pada sesi menghadap YAB Perdana Menteri yang berlangsung 30 minit bermula jam 12.30 tengah hari, Seri Paduka Baginda berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh jemaah menteri dengan serta merta berkuat kuasa hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato’ Abdul Ghani Salleh, bahawa sehingga 10 Ogos, 2021, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), sebanyak 484 kawasan atau 79 peratus adalah zon merah COVID-19.

Pada masa sama, katanya, Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi membimbangkan.

“Justeru, pada hemat Seri Paduka Baginda, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan satu pilihan terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang mengganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik COVID-19.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat supaya bertenang dan bersama Baginda mendoakan negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri segera,” katanya.