Agong, Permaisuri berangkat ke Turkiye

Agong, Permaisuri berangkat ke Turkiye

KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, hari ini, berkenan berangkat ke Turkiye bagi mengadakan lawatan rasmi negara selama tujuh hari.

Pesawat khas yang membawa Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada kira-kira 10 pagi.

Menerusi hantaran Facebook rasmi Istana Negara, YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Sri Muhaini Zainal Abidin, hadir mengucapkan selamat berangkat kepada baginda berdua.

Turut sama Menteri Luar Negeri, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah; Menteri Pengangkutan Dato’, Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Baginda berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN