Agong, Permaisuri berkenan hadiri majlis graduasi anakanda baginda

Agong, Permaisuri berkenan hadiri majlis graduasi anakanda baginda

LONDON: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat menghadiri majlis graduasi anakanda baginda berdua di Kampus Royal Holloway, University of London di Egham, Surrey, United Kingdom, Isnin lalu.

Pada majlis itu, YAM Tengku Panglima Muda, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kriminologi and Sosiologi.

Manakala, YAM Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pula dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan dan Perakaunan.

Menerusi hantaran Facebook rasmi Istana Negara, pada majlis graduasi itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan barisan pemimpin tertinggi universiti itu.

Turut berangkat, anakanda-anakanda baginda iaitu YAM Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; YAM Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Ilisha dan YAM Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Dibuka rasmi oleh baginda Ratu Victoria pada 30 Jun 1886, Royal Holloway, Universiti of London, kini tersenarai dalam 25 universiti terbaik di United Kingdom (The Guardian University League Table, 2022). – MUHAMMAD IZZ ZAHIN