Agong, Permaisuri dan PM bersedih atas pemergian Tengku Ahmad Rithauddeen

Agong, Permaisuri dan PM bersedih atas pemergian Tengku Ahmad Rithauddeen

KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Pertahanan, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang kembali ke Rahmatullah, malam tadi.

Baginda berdua turut menzahirkan rasa duka dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarganya sabar serta tabah berdepan dugaan berkenaan.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara hari ini, baginda berdua memaklumkan amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

Sementara itu, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut bersedih dengan pemergian Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir jam 8.43 malam tadi pada usia 94 tahun.

“Mewakili Keluarga Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan ini.

“Allahyarham bukan sahaja seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan tetapi juga veteran UMNO yang sangat dihormati,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini. 

Allahyarham Tengku Ahmad Rithauddeen pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan dari 1987 hingga 1990. Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Menteri Fungsi Khas bagi membantu Tun Abdul Razak di Kementerian Luar Negara pada 1973 sebelum menjadi Menteri Maklumat dan Fungsi Khas pada 1974.

Selain itu, Allahyarham pernah menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negara (1975), Menteri Perdagangan dan Industri (1981) sebelum dilantik semula sebagai Menteri Luar Negara (1984) dan Menteri Maklumat (1986).

Allahyarham juga adalah bekas Pengerusi UMNO Kelantan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno selain pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang pada 1973 dan bekas Presiden Majlis Pengelola Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNMA).

Ketika hayatnya, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1992 selain sempat mencurah bakti dalam bidang sukan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1988. – HELMY ABD RAHMAN