Agong, Permaisuri kurnia sumbangan kepada 6 keluarga asnaf

Agong, Permaisuri kurnia sumbangan kepada 6 keluarga asnaf

KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyempurnakan Program Ziarah Kasih Sempena Ramadan di Pekan, hari ini.

Pada program itu, baginda berdua berkenan meluangkan masa menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada enam keluarga asnaf di Kampung Tanjung Baru Nenasi, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Pekan Nenasi.

Istana Negara menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, berkata sumbangan itu diyakini dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan.

“Lebih-lebih lagi ketika Ramadan dan tentunya ia dapat membantu persiapan hari raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba,” petik hantaran itu.

Berangkat sama, YAM Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; YAM Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAM Tengku Panglima Muda, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah; YAM Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN