Agong, Permaisuri mahu rakyat contohi iltizam Long Nan

Agong, Permaisuri mahu rakyat contohi iltizam Long Nan

KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Adnan Yaakob tu atas kejayaan menamatkan pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), semalam.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Istana Negara, hari ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku  Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Adnan yang mesra dipanggil Long Nan. 

Sehubungan itu, baginda berdua menyeru rakyat mencontohi kejayaan Adnan yang membuktikan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh boleh memberikan kejayaan. 

Semalam, Adnan menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada usia 72 tahun di Istiadat Konvokesyen UIAM ke-38.

Ia lebih bermakna apabila Adnan turut menerima anugerah Senarai Rektor kerana menampilkan prestasi cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.62.

Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya dan mendoakan semoga Adnan dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Adnan pernah berkhidmat sebagai YAB Menteri Besar Pahang dari 1999 hingga 2018 dan yang paling lama berkhidmat iaitu 19 tahun sebelum melepaskan jawatan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 2018. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN