Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Sabbaruddin Chik

Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Sabbaruddin Chik

KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik yang kembali ke Rahmatullah, malam tadi.

Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Istana Negara hari ini, Seri Paduka baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan solihin.

Seri Paduka baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

Allahyarham semasa hayatnya pernah memegang jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dari 1987 hingga 1996 dan pernah menjadi Ahli Parlimen Temerloh dari 1982 hingga 1999.

Allahyarham juga seorang yang amat arif dan berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan dunia korporat.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN