KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke London untuk memberi penghormatan kepada Mendiang Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 8 September lalu.
Baginda yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, mengadakan lawatan itu bagi memenuhi jemputan rasmi daripada kerajaan United Kingdom (UK) selama enam hari bermula hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Sri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata keberangkatan tiba baginda berdua di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), disambut Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri; Dato’ Sri Amran Mohamed Zin dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sollehuddin Alyubi Zakaria.
Katanya, pesawat khas yang membawa baginda berdua berlepas pada jam 10.30 pagi.
“Sebelum berangkat, Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh membacakan doa selamat bagi memohon perlindungan serta keselamatan keberangkatan baginda berdua yang berkenan melintasi barisan pasukan Kawalan Kehormat Diraja sebelum menaiki pesawat.
“Menerusi rangka lawatan khas ini, baginda berdua akan menghadiri Majlis Resepsi Bersama Raja Britain Raja Charles III pada Ahad ini (18 September) dan istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II pada Isnin (19 September) di Westminster Abbey,” katanya menerusi kenyataan media dikeluarkan Istana Negara, hari ini.
Al-Sultan Abdullah mempunyai hubungan baik dengan Raja Charles III dan persahabatan ini terjalin sejak lebih empat dekad lalu.
Baginda berdua pernah bermain bersama dalam sukan Polo Berkuda, bermula pada zaman remaja, di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.
Mengimbau kembali kenangan bertemu mendiang Baginda Ratu Elizabeth II, baginda berdua berkenan berangkat melakukan kunjungan hormat dan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama mendiang Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham, London pada 13 Disember 2019. – HELMY ABD RAHMAN