KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada kepada seluruh keluarga mangsa kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang berlaku pada awal pagi, 16 Disember.
Baginda berdua menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Istana Negara, baginda berdua mendoakan agar roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
Baginda berdua menzahirkan setinggi penghargaan kepada barisan anggota jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Baginda turut menzahirkan harapan agar operasi itu dilakukan secara rapi dan terancang.
Baginda berdua mendoakan agar dipermudahkan urusan dan usaha mencari serta menyelamat semoga mangsa yang terperangkap dapat diselamatkan dengan segera.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN