Agong redah air paras lutut tinjau banjir ibu kota

Agong redah air paras lutut tinjau banjir ibu kota

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, malam tadi, berkenan berangkat meninjau situasi banjir di ibu kota berikutan hujan berterusan yang melanda ibu kota sepanjang 24 jam lalu.

Menerusi perkongsian di akaun Facebook rasmi Istana Negara, baginda dilihat meredah banjir bagi melihat sendiri situasi semasa di sekitar kawasan jalan susur menghala Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC).

Baginda turut menyantuni anggota pasukan penyelamat ketika banjir berada pada paras lutut.

Menerusi komen di posting berkenaan, warga social media menganggap keberangkatan Al-Sultan Abdullah melawat sendiri kawasan dilanda banjir sebagai tanda keprihatinan tinggi terhadap rakyat yang dilanda musibah.

Selain itu, keberangkatan baginda bercemar duli adalah cerminan keperibadian tinggi dan kasih kepada rakyat baginda tanpa mengira tempat, masa dan cuaca. – ISTANA NEGARA