Agong santuni 5 keluarga asnaf di Beserah

Agong santuni 5 keluarga asnaf di Beserah

KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan Program Ziarah Kasih sempena Ramadan di Beserah, di sini hari ini.

Turut berangkat, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan YAM Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara hari ini, baginda berkenan meluangkan masa menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada lima  keluarga asnaf di Kampung Baru Beserah, Kampung Bahagia Beserah dan Kampung Batu Hitam Beserah.

“Semoga sumbangan itu dapat meringankan beban yang ditanggung mereka terutama ketika Ramadan dan membantu persiapan hari raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba.

“Keberangkatan baginda mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi baginda dan Pemangku Raja Pahang terhadap golongan yang memerlukan bantuan di Pahang,” petik hantaran itu – MUHAMMAD IZZ ZAHIN