Agong santuni mangsa banjir di Selangor

Agong santuni mangsa banjir di Selangor

KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan mencemar duli berangkat melawat dan menyantuni mangsa banjir di beberapa lokasi terjejas akibat banjir di Selangor.

Dalam lawatan dua jam bermula jam 10 pagi itu, Baginda Tuanku berkenan menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam selain Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang dilanda banjir baru-baru ini.

Istana Negara menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, memaklumkan Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan bantuan iaitu barangan keperluan harian dan sumbangan wang tunai kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan.

“Selesai lawatan di CIAST, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat meluangkan masa meninjau kawasan perumahan di Taman Sri Muda yang teruk terjejas akibat bencana banjir buruk baru-baru ini.

“Baginda Tuanku juga berkenan menziarahi beberapa rumah mangsa banjir di kawasan perumahan itu dan meluangkan masa menyantuni mereka yang terkesan akibat banjir buru yang melanda sebelum Seri Paduka sebelum mengurniakan sumbangan kepada mangsa,” petik Istana Negara.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat melawat Masjid Taman Sri Muda untuk meninjau kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Turut berangkat, DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di CIAST pada jam 10 pagi disambut Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Selangir, Dato’ Seri Aminudin Shari; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Sejurus keberangkatan tiba, Seri Paduka Baginda berkenan menerima persembahan taklimat berkenaan bencana banjir di negeri Selangor, termasuk Taman Sri Muda, di CIAST Shah Alam. – HELMY ABD RAHMAN