Agong titah bantuan rakyat terjejas banjir disegerakan

Agong titah bantuan rakyat terjejas banjir disegerakan

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir di seluruh negara yang terpaksa berpindah dari rumah mereka ke pusat penempatan sementara (PPS).

Justeru, baginda menasihati rakyat yang terkesan akibat banjir supaya bersabar dan reda menghadapi ujian serta dugaan yang menimpa mereka.

Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, baginda turut menasihati rakyat supaya mematuhi semua nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga tersayang.

Pada masa sama, baginda menzahirkan harapan agar semua pihak membuat persediaan rapi memandangkan cuaca diramalkan kurang baik pada Disember ini dan Januari depan.

Oleh itu, baginda menyeru agensi-agensi kerajaan untuk turun menghulurkan segala bentuk bantuan kepada mangsa  banjir di seluruh negara dengan lebih pantas, termasuk khemah yang mencukupi di PPS untuk keselesaan mangsa  banjir.

Baginda turut mengajak rakyat untuk bersama baginda mendoakan semoga  cuaca akan bertambah baik dan banjir tidak berlarutan di samping fenomena banjir terbesar pada 1971 tidak berulang. 

Terdahulu, baginda berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, hari ini.

Baginda telah berkenan meluangkan masa hampir satu jam untuk menyantuni mangsa banjir di PPS itu. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN