KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022.
Baginda menzahirkan ucapan itu kepada seluruh wartawan dan pengamal media serta mereka yang telah bersara.
Menerusi hantaran Facebook rasmi Istana Negara, baginda menghargai komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh wartawan dan pengamal media dalam menjalankan tugas menyampaikan maklumat dan melaporkan berita yang tepat dan terkini sama ada menerusi televisyen, surat khabar, radio serta portal dalam talian.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada wartawan dan pengamal media atas pengorbanan masa, tenaga, buah fikiran dan keselamatan diri tanpa mengira cuaca dan situasi dalam menjalankan tugas mendapatkan maklumat.
Dengan ledakan maklumat di Internet dan media sosial, baginda menasihati wartawan dan pengamal media sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan serta memastikan integriti dan akauntabiliti dalam setiap pelaporan berita yang disiarkan.
“Meskipun kerajaan menghormati prinsip kebebasan media, namun semua pihak, khususnya wartawan dan pengamal media, mestilah mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan,” katanya menerusi hantaran itu.
Menyifatkan sebagai wira yang tidak didendang, baginda bertitah, peranan wartawan dan pengamal media juga amat penting dalam pembangunan negara dan memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.
Baginda mendoakan semoga wartawan dan pengamal media sentiasa dilimpahi kejayaan berterusan dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dalam menjalankan tugas.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN