Agong zahir penghargaan kepada tentera darat

Agong zahir penghargaan kepada tentera darat

KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat Malaysia ke-89 kepada seluruh warga tentera darat, termasuk veteran dan semua yang pernah berkhidmat.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota keselamatan negara itu kerana menjaga kedaulatan negara dan atas pengorbanan tanpa mengira masa serta penat lelah membantu rakyat yang berada dalam kesusahan ketika beberapa buah negeri dilanda bencana banjir buruk, baru-baru ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara hari ini, baginda Tuanku turut mengalungkan penghargaan kepada seluruh keluarga para perwira dan anggota tentera darat yang terkorban ketika bertugas dan  melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.

“Al-Sultan Abdullah mendoakan semoga supaya roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin.

“Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pergorbanan dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota tentera darat dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara yang kita cintai bersama ini.

“Semoga angkatan Tentera Darat terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa,” petik hantaran itu. – HELMY ABD RAHMAN