Ahli Parlimen Jerantut terkandas dek banjir

Ahli Parlimen Jerantut terkandas dek banjir

JERANTUT: Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris antara yang terkandas akibat banjir di sini hari ini.

Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) itu mengadakan program di Kuala Tahan pagi tadi apabila laluan dari Felda Padang Piol ke Jerantut ditutup kepada kenderaan kerana dinaiki air sejauh setinggi hampir satu meter (m) dan sejauh 120m di kawasan Paya Garuk. 

Keadaan itu menyebabkan laluan berkenaan menjadi sesak apabila ramai penduduk dari  Felda Padang Piol, Sungai Retang dan berapa kampung, terputus hubungan untuk ke Jerantut.  

Jalan utama ke Kuala Tembeling turut terputus apabila jambatan di Kampung Sepial, dinaiki air setinggi 1.2m

Menerusi kenyataan dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang cawangan Jerantut, empat jalan lain yang menghubungi beberapa kampung  di daerah ini juga ditutup kepada semua kenderaan. 

Jalan yang ditutup ialah jalan Ulu Retang ke Merting di Jambatan Sungai Puai; Jalan Sungai Lekok ke Jeransong berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Jeransong; Jalan Bukit Puas ke Gintong dan Jalan Pulau Tawar ke Durian Hijau  di kawasan Sekolah Menengah Pulau Tawar. 

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jerantut memaklumkan seramai 128 orang daripada 22 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air. 

Tiga PPS itu ialah di Dewan Semai Bakti Felda Kota Gelanggi Satu yang menempatkan 103 mangsa daripada 18 keluarga; PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teh, (11 mangsa/dua keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damak (14 mangsa/dua keluarga.

Difahamkan juga, tiga warga emas dipindahkan di PPS SK Teh, manakala 35 orang kanak-kanak dan 83 dewasa berada di ketiga-tiga PPS terbabit. – MUHAMMAD NAJMIE