Ahli UMNO diingatkan lebih kerap turun padang, dekat orang muda 

Ahli UMNO diingatkan lebih kerap turun padang, dekat orang muda 

KUANTAN: Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) Indera Mahkota sekali lagi diingatkan jangan terlalu fokus di Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebaliknya sentiasa turun padang dekati masyarakat dalam menyampaikan maklumat dan informasi.

Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Abdul Hamid, berkata sikap sedemikian sedikit sebanyak boleh menjejaskan usaha menarik lebih ramai pengundi baharu dan pengundi ‘atas pagar’ menyertai parti.

“Semua ahli UMNO adalah jentera kepada parti dan jika kalah, kita kalah bersama. Jika menang, kita menang bersama. Jadi, bekerjalah untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kita,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam pada itu, katanya, jentera UMNO di semua peringkat Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri Indera Mahkota sudah lama turun padang mendekati masyarakat khususnya golongan muda.

“Jentera kini memberi tumpuan kepada golongan muda kerana buat pertama kali dalam sejarah, PRU15 membabitkan pengundi berusia 18 tahun yang didaftarkan secara automatik,” katanya. 

Menurutnya, warga UMNO Indera Mahkota sudahpun bersiap sedia menghadapi PRU15 dan nekad merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Semambu dan Beserah.

Untuk rekod, jumlah ahli UMNO Bahagian Indera Mahkota mencecah 13,000 manakala pengundi pula 119,508. –  NUR HANNAH KHADIJAH