KUANTAN: Ahli UMNO khususnya di Kuantan, perlu lebih proaktif dan bijak menguruskan media sosial peribadi masing-masing.
Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nazahar, berkata ini kerana peranan media sosial kini amat besar dan mampu mempengaruhi jatuh bangun mana-mana parti politik.
“Cukup-cukuplah kita (UMNO) dituduh ‘racist’ (perkauman), rasuah dan pelbagai tohmahan buruk dan kerana itu, kita kena buat, lawan dan ceritakan perkara sebenar.
“Sebab itu saya menyeru saudara saudari berhati-hati dan uruskanlah media sosial secara bijaksana. Kalau nampak Facebook (FB) Bahagian (UMNO) Kuantan, nampak (hantaran) FB saya, tolonglah ‘like’ (tanda suka) dan ‘share’ (kongsi),” katanya dalam ucaptama sebelum merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuantan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Ab Hamid yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, menyempurnakan pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Kuantan.
Hadir sama, Naib Presiden MCA merangkap Ketua MCA Kuantan, Dato’ Sri Ti Lian Ker dan barisan kepemimpinan MIC Bahagian Kuantan. – HELMY ABD RAHMAN