JERANTUT: Penyandang Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi negeri dan pusat untuk menentukan sama ada beliau layak untuk dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, ramai calon muda dan berkaliber Barisan Nasional (BN) bersedia untuk dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen Jerantut.
“Tapi, harap calon baharu yang terpilih perlu memberi perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang.
“Calon yang dipilih memikul amanah pengundi yang perlu dijaga dan bertanggungjawab dengan kebajikan mereka,” katanya di Program Kasih Suri Keluarga Malaysia (i-Suri) di Dewan Serbaguna PAKR Bandar Baru Jerantut, hari ini.
Ahmad Nazlan berkata, calon baharu nanti seharusnya di kalangan anak tempatan yang berkelayakan dan tahu kemahuan penduduk di daerah ini.
“Kalau calon luar yang tidak tinggal di Jerantut amat sukar menyelami denyut nadi pengundi dan keperluan mereka,” katanya.
Ahmad Nazlan memperoleh 26,544 undi untuk menang dengan majoriti 4,532 undi pada PRU13 selepas menumpaskan calon PAS, Dr Hamzah Jaafar.
Beliau sekali lagi menang dengan majoriti 5,908 undi pada PRU14 selepas memperoleh 22,640 undi untuk mengalahkan calon PAS, Yohanis Ahmad (16,732) dan calon PKR, Wan Mohd Shaharir Wan Adul Jalil (10,877).
Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berterima kasih atas penghargaan Ketua UMNO Bahagian Jerantut yang masih percaya kepadanya bertanding semula buat penggal ketiga. – AIN HUDA AMIR