Ahmad Yusof, Fandi, Shaharuddin banyak bantu saya

Ahmad Yusof, Fandi, Shaharuddin banyak bantu saya

DATO’ Dollah Salleh menjelaskan bahawa kebangkitan Sri Pahang FC selepas menang dalam tiga perlawanan berturut-turut bukan atas faktor dirinya sahaja.

Tetapi, ketua jurulatih itu berkata, prestasi yang kian meningkat itu hasil daripada kerjasama dan idea bersama barisan kejurulatihan.

“Sebenarnya `coach’ Fandi Ahmad yang banyak bantu kita buat perancangan termasuk Dato Ahmad Yusof dan Ahmad Shaharuddin Rosdi.

“Sebagai contoh sebelum berdepan PJ City FC, kita menilai prestasi lawan dan memberikan input kepada Fandi.

“Hasilnya kita berjaya menewaskan PJ City dan meletakkan kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Tiga kemenangan berturut-turut yang diraih Sri Pahang ialah menewaskan PJ City 3-0, Kedah Darul Aman (KDA) FC (2-0) dan Selangor FC (2-0).

Kejayaan itu juga meletakkan skuad Tok Gajah berada di kedudukan kelima Liga Super dengan 17 mata selepas 14 perlawanan.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN