Aidilfitri disambut meriah 1,000 pelajar UMP di kampus Pekan dan Gambang

Aidilfitri disambut meriah 1,000 pelajar UMP di kampus Pekan dan Gambang

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

pic

KUANTAN: Kemeriahan sambutan hari raya Aidilfitri tetap dirasai kira-kira 1,000 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) walaupun memilih tidak pulang berhari raya bersama keluarga di kampung halaman.

  suasana bertambah meriah apabila mereka, di kampus UMP Pekan dan Gambang, di sini, menerima pek juadah raya mengandungi nasi impit, kuah kacang, lontong, lemang, rendang, nasi minyak, air kotak dan buah-buahan.

  Pengagihan juadah hari raya itu cukup bermakna kepada pelajar yang membuat keputusan untuk kekal di kampus universiti ketika rakan lain pulang ke kampung.

   Bagi Anang Rustanto Suwito dari Kolej Kejuruteraan Jabatan Kejuruteraan Awam UMP, pek juadah raya pada pagi raya sumbangan Yayasan UMP mengubat rindu terhadap masakan keluarganya.

  Pada masa sama, beliau juga mendapat nasihat daripada ibu bapa untuk kekal di kampus memandangkan persekitaran yang lebih selamat ketika kes penularan wabak COVID-19 masih lagi belum berakhir..

  “Terima kasih kepada Yayasan UMP kerana menyediakan juadah istimewa hari raya dan dapat menikmatinya bersama rakan,” katanya yang berasal dari Johor Bahru.

  Pengerusi Jawatankuasa Sahsiah dan Modal Insan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Amirul Ikhmal Yoda pula berkata, pihaknya gembira kerana dapat membantu menguruskan agihan juadah itu.

   “Bagi pelajar yang pulang ke kampung diharap memanfaatkan masa bersama keluarga dan menjaga diri serta memastikan berada dalam keadaan sihat dan bebas daripada sebarang jangkitan apabila kembali ke kampus,” katanya.

  Sementara itu, Pengerusi Institusi Kefeloan UMP (INSFEL), Nasrul Salim Pakheri berkata, agihan juadah raya adalah sumbangan Yayasan UMP dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

  “Pelajar di kampus termasuk pelajar antarabangsa dari negara Yaman, Bangladesh, Pakistan, India dan China turut hadir untuk menerima juadah.

  “Proses pengagihan dilakukan mengikut norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk pemeriksaan suhu badan dan pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya.